Monday 14 March 2016

    TUGASAN 1: PENGURUSAN INSTITUSI PEMBANGUNAN ISLAM
        (PENGAWASAN DALAM INSTITUSI)           
                                 NASIHAH BINTI ISMAIL                                           PELAJAR SAINS KEMASYARAKATAN
 (PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM)

TAJUK: PEMBENTUKAN SAHSIAH DAN PENGAWASAN DALAM PENGURUSAN INSTITUSI

Pendahuluan
Institusi merupakan sebuah badan mahupun organisasi yang mantap ditubuhkan berdasarkan kepada sesuatu tujuan di mana ianya mempunyai insfrastruktur, struktur serta mekanisme yang khusus. Institusi juga adalah norma ataupun aturan mengenai sesuatu aktiviti masyarakat yang khusus. Bagi mencapai sebuah institusi yang baik dan mantap memerlukan kepada pengurusan institusi yang baik dan teratur. Dalam pengurusan pula, memerlukan kepada sumber manusia,tenaga kerja, pembentukan sahsiah, pengawasan atau etika yang baik bagi mencapai matlamat dalam sesebuah pengurusan institusi. Dalam konteks ini, usaha untuk menjadikan pengurusan institusi yang baik, tidak akan berjaya sepenuhnya sekiranya usaha membentuk sahsiah diri individu di abaikan. Hal ini juga memerlukan kepada suatu pengawasan. Perkara ini mempunyai hubung kait antara pembentukan sahsiah diri dengan pengawasan bagi pencapaian matlamat dalam pengurusan institusi. Oleh itu, kedua-dua perkara ini diperlukan dalam pengurusan institusi bagi mencapai matlamat yang ingin dicapai.

Pembentukan Sahsiah Dalam Pengurusan Institusi
Sahsiah bermaksud peribadi atau personaliti yang mencirikan seseorang di mana sifat sahsiah merangkumi gaya hidup, pemikiran, sikap, nilai, budi pekerti seseorang dan sebagainya. Dalam sesebuah pengurusan, sahsiah diri amat diperlukan untuk melahirkan individu yang berakhlak dan beretika dalam menguruskan atau menjalankan seuatu aktiviti pengurusan. Hal ini kerana ciri-ciri sahsiah yang baik adalah mempunyai sifat keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.  Oleh yang demikian, adalah penting bagi setiap individu memiliki ciri-ciri pembentukan sahsiah yang baik seperti amanah, jujur, bertanggungjawab dan sebagainya. Dalam setiap pengurusan institusi mempunyai matlamat bagi mencapai keredaan Allah SWT untuk memperoleh kebajika di dunia dan akhirat. Oleh itu, setiap kegiatan pengurusan institusi harus menghindarkan daripada berlakunya salah laku dengan cara menjauhkan diri dari unsur-unsur negatif dengan menerapkan pembentukan sahsiah bagi setiap individu.
Allah SWT berfirman “ Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) An-nisa: 58
Berdasarkan kepada ayat firman Allah SWT, dimaksudkan bahawa amanah dalam menguruskan sesebuah institusi adalah di mana setiap individu dipertanggungjawabkan untuk mentadbir dan mengurus institusi. Maju mundur bagi sesebuah institusi bergantung kepada mutu kepimpinan yang dilantik. Oleh yang demikian, kegagalan dalam proses pembentukan sahsiah akan akan memberi kesan yang buruk terhadap institusi. Di samping itu, kegagalan organisasi juga disebabkan oleh pemimpin atau pekerja yang tidak amanah serta lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada mengutamakan kepentingan institusi. Bagi mencapai mutu prestasi dalam pengurusan institusi, pemimpin mahupun golongan pekerja perlu mengetahui arah tuju institusi agar dapat menjalankan peranan dengan berkesan dalam perubahan suasana yang kian mencabar (Nik Mustapha Nik Hassan).

Pengawasan Dalam Pengurusan Institusi
Pengawasan merupakan sesuatu yang sangat penting dalam sesebuah institusi ataupun organisasi agar kegiatan-kegiatan yang dijalankan tidak menyimpang dari tujuan yang telah ditetapkan. Dengan pengawasan akan dapat diketahui kebaikan dan kelemahan dalam sebuah pengurusan dari awal pelaksanaan sehingga akhir pelaksanaan pengurusan (Novia, 2010). Dalam pengawasan terdapat fungsi pengawasan antaranya adalah untuk mencegah daripada berlakunya kemungkaran, memperbaiki kesalahan-kesalahan dan mengelak daripada berlakunya penyalah gunaan, penyelewengan serta melahirkan rasa tanggungjawab dalam diri setiap individu. Oleh di sebabkan pengawasan dapat berfungsi sebagai pencegah daripada berlakunya penyimpangan, maka di sini jelas menunjukkan bahawa fungsi pengawasan mencakupi pengendalian, penilaian, pelaksanaan, sifat positif dan pembentukan sahsiah (Ahmad Esa, t.t.). Dalam pengurusan institusi, tindakan pengawasan dan pembentukan sahsiah merupakan perkara yang mempunyai hubung kait antara kedua-duanya. Sejajar denga itu, fungsin pengawasan  dan pembentukan sahsiah tidah hanya terikat dengan peraturan yang ditetapkan tetapi sebaliknya menjadi penggerak serta dapat menjadi suatu pengurusan institusi yang baik (Rohardjo Adi Sasmita, 2011).Selain itu, suatu institusi juga perlu memiliki proses pengawasan bagi menguruskan institusi di mana ianya terdiri daripada kegiatan-kegiatan dalam institusi serasi dengan apa yang dirancangkan. Pengawasan hendaklah dijalankan bersesuaian dengan sifat dan keperluan sebuah institusi dan proses pengawasan harus bersifat membimbing agar pelaksana yang menguruskan institusi meningkatkan kemampuan individu dalam pengurusan institusi.      .

Kesimpulan
Jelas menunjukkan bahawa untuk menjadikan suatu pengurusan institusi yang baik perlu kepada pembentukan sahsiah dan pengawasan. Oleh itu, tanpa pembentukan sahsiah, maka pengawasan tidak mungkin dapat dilaksanakan kerana tidak mempunyai ciri-ciri sahsiah yang baik. Justeru, pengawasan amat diperlukan dalam suatu pengurusan institusi kerana dengan adanya pengawasan akan dapat mengelak daripada berlakunya kesalahan dalam pengurusan institusi. Melalui pengawasan juga, dapat melahirkan kominikasi yang baik antara pemimpin dengan pekerja. Pengawasan disarankan dilakukan secara berterusan agar dapat menjadi suatu pengurusan institusi itu menjadi lebih baik.

Rujukan
Rohardjo Adi Sasmita, 2011. Pengelolaan Pendapatan dan Anggaran Daerah. Yogyakarta: Grana Ilmu.

Nik Mustapha Nik Hassan, t.t. Amanah dalam Memimpin. Diakses daripada www.ikim.gov.my/index.php/ms/berita-harian/7849-amanah-dalam-memimpin-org.

Ahmad Esa, t.t. Etika Profesional Dalam Pengurusan Usahawan: Satu Analisis Kajian Lapangan. Perak.

Novia, 2010. Pengawasan Dalam Organisasi. Diakses daripada https://pyia.wordpress.com/2010/01/03/tugas-teori-organisasi-umum/

No comments:

Post a Comment