Monday 31 October 2016

KEMAHIRAN INSANIAH TERHADAP KEBOLEH PASARAN MAHASISWA

NASIHAH BINTI ISMAIL
PISM-0082/15
PELAJAR SAINS KEMASYARAKATAN
(PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM)


PENDAHULUAN

Keboleh pasaran mahasiswa sering kali dikaitkan apabila kegagalan mahasiswa bagi mendapatkan pekerjaan adalah disebabkan tidak memiliki kemahiran insaniah. Pada era globalisasi sekarang, kemahiran insaniah sangat diperlukan dalam diri setiap mahasiswa kerana keboleh pasaran setiap graduan dinilai dari pelbagai aspek yang tidak hanya dinilai berdasarkan kepada tahap kecemerlangan akademik semata-mata (Ahmad Esa, Suhaili Padil & Asri Selamat, 2003). Bahkan, mereka yang mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi sangat diperlukan bagi menerapkan elemen-elemen kemahiran insaniah seperti kemahiran berkomunikasi secara berkesan, kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan, pemikiran kritis dan keusahawanan. Elemen-elemen ini juga telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPTM) bagi usaha membangunkan modal insan kelas pertama yang dapat membantu meningkatkan kualiti setiap individu dan masyarakat terutamanya mahasiswa mahupun graduan. Hal ini dilihat selaras dengan matlamat negara untuk mencapai negara maju pada masa akan datang. Oleh itu, kemahiran insaniah dalam membangunkan modal insan adalah sangat penting dalam melaksanakan peranan masing-masing bagi mencapai kemajuan di dunia serta mendapat keredaan Allah SWT. Justeru, jika mengimbas kembali  pencapaian dan kejayaan yang dibawa oleh tokoh-tokoh ilmuwan Islam terdahulu, ia menekankan penghayatan dan amalan ilmu yang bersifat menyeluruh dengan disertai keimanan yang mantap serta tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab dan peranan sebagai hamba dan khalifah Allah SWT.


KENAPA PENTINGNYA KEMAHIRAN INSANIAH?

Kemahiran insaniah yang dimaksudkan ialah merangkumi ruang lingkup kualiti peribadi yang mempunyai nilai tanggungjawab, kepercayaan diri, kemampuan berkomunikasi, berintergriti, jujur serta kerja berkumpulan. Di samping itu, kemahiran insaniah juga disebut “soft skills” sebagai kecemerlangan individu dalam pelbagai aspek seperti sikap dan personaliti, kemahiran komunikasi, memiliki pergaulan yang luas serta bersikap secara optimis. Soft skills dilihat penting sebagai pelengkap kepada kemahiran insaniah yang merupakan suatu keperluan untuk mengendalikan sesuatu sistem. Justeru, proses terhadap kemahiran “soft skills” ini boleh dilaksanakan kepada semua mahasiswa tidak hanya di dalam bilik kuliah, malah boleh juga dilakukan di luar bilik kuliah seperti menganjurkan pelbagai program yang melibatkan kemahiran dalam membangunkan insan yang berkualiti. Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (2006), institusi pendidikan berperanan penting dengan menitikberatkan tentang kepentingan kemahiran insaniah sebagai penyumbang dalam menjana modal insan yang menyeluruh bagi melahirkan sumber tenaga manusia yang berprestasi dan berkualiti selaras dengan matlamat negara terhadap ekonomi semasa. Kemahiran insaniah dalam diri setiap mahasiswa perlu dipertingkatkan dan tidak hanya menumpukan usaha terhadap kecemerlangan akademik sahaja kerana melalui kecemerlangan akademik tidak mencukupi untuk para graduan terus diterima ke pasaran pekerjaan (Buntat, 2004). Hal ini disebabkan oleh persaingan dan cabaran dalam pekerjaan saban hari dilhat kian meningkat. Oleh demikian, para graduan perlu berusaha meningkatkan prestasi diri untuk membangunkan kemahiran insaniah agar tidak hilangnya sebuah nilai estetika yang mempamerkan diri mereka ini berharga. 

Kemahiran insaniah ini bukan hanya sekadar untuk graduan yang menceburi bidang perniagaan dan pengurusan, akan tetapi ia merupakan elemen yang perlu ada dalam diri setiap mahasiswa yang berada dalam sistem pendidikan (Wirth, 1992). Kemahiran insaniah merangkumi semua aspek berkaitan kemahiran generik yang melibatkan elemen kognitif yang merangkumi kemahiran bukan akademik seperti kemahiran kepimpinan, komunikasi, pemikiran kritis, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, kerjasama berpasukan, kemahiran keusahawanan, dan etika moral dan profesional seperti mana yang telah digariskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Kemahiran berkomunikasi adalah penting dalam proses kehidupan manusia yang mana ia merupakan satu bentuk perhubungan yang melibatkan pertukaran idea, maklumat, pendapat dan sebagainya. Dalam kemahiran berkomunikasi juga terdapat prinsip-prinsip yang perlu ada dalam berkomunikasi seperti kemahiran mendengar yang baik, bercakap dengan lemah lembut, memberi respon yang positif, menggunakan hikmah dan nasihat yang baik serta mengambil kira pandangan dan fikiran orang lain. Prinsip-prinsip komunikasi tersebut juga digunakan oleh Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat dalam menyampaikan risalah Islam dengan berkesan (Saodah Wok, Narimah Ismail dan Mohd Yusof Hussain, 2005). Dengan itu, mahasiwa diharapkan dapat mengembangkan kemahiran berkomunikasi dengan baik tanpa mengharapkan bantuan orang lain. Selain itu, penerapan pemikiran kritis dan menyelesaikan masalah juga merupakan elemen yang perlu ada dalam kemahiran insaniah. Seseorang individu harus berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif bertujuan untuk merungkai segala permasalahan dan membuat keputusan dengan bijak. Melalui kemahiran ini menjadikan seseorang individu berupaya mengambil tindakan yang jitu dan bertanggungjawab terhadap implikasi yang dihadapi (Juliza Ezaida, 2014). Kemahiran kerja berpasukan adalah elemen ketiga yang perlu ada bagi mahasiswa meningkatkan kemahiran insaniah dalam diri. Elemen ini menunjukkan kebolehan mahasiswa dalam membina hubungan yang baik dan memperlihatkan kesediaan mahasiswa untuk memberi kerjasama dengan ahli kumpulan bagi mencapai objektif yang sama. Sebagai contoh yang boleh dilihat dalam sejarah Islam melalui peristiwa perang uhud ketika tentera-tentera Muslim berjaya mengalahkan pihak musuh apabila mereka bertindak secara berkumpulan dan mempunyai perancangan yang teliti (Shahrul Nizam, 2015) Imbasan daripada sejarah ini jelas membuktikan bahawa kerja berpasukan amat penting untuk mencapai sesuatu objektif.

Elemen keempat, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat juga digariskan dalam usaha meningkatkan dan menguasai kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa. Hal ini bertujuan untuk mengukur kemampuan bagi mencari dan menguruskan maklumat yang diperoleh dari pelbagai sumber dengan menepati permasalahan topik. Di samping itu, mahasiswa juga berpeluang menerima idea baharu daripada orang lain serta turut berkeupayaan untuk mendapatkan pembelajaran secara autonomi, malah diharapkan dapat mengembangkan dan mengaplikasikan topik perbincangan yang mampu memberi manfaat kepada individu lain. Kemahiran keusahawanan merupakan elemen kelima yang perlu diterapkan dalam diri setiap mahasiswa dengan memperlihatkan kebolehan mahasiswa untuk mengenal pasti peluang perniagaan yang wujud di sekeliling (Fazhani Che Mat Zain, t.t.). Keusahawanan dalam konteks Islam merupakan suatu ibadah untuk memenuhi keperluan hidup yang seimbang dari sudut duniawi dan ukhrawi. Selain kepentingan keusahawanan bagi memenuhi kemaslahatan hidup, usahawan yang jujur dan amanah dalam perniagaan mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT berdasarkan hadith Rasulullah SAW.

                     “Perniagaan yang jujur dan amanah akan bersama nabi-nabi, para siddiqin dan para                                syuhada”              (Riwayat Muslim dan Tarmidzi)

Justeru, kemahiran keusahawanan tidak hanya melihat kepada konsep material, fizikal dan akal manusia sahaja, bahkan turut melihat kepada aspek kerohanian dan ketuhanan yang menjadi tunjang pelaksanaan Islam itu sendiri (Muhammad Syukri Salleh, 1999). Seterusnya moral dan etika profesional adalah usaha membentuk modal insan kelas pertama juga diterapkan dalam elemen kemahiran insaniah yang meliputi kebolehan mahasiswa memahami kesan ke atas ekonomi, alam sekitar dan sosiobudaya. Elemen tersebut dalam pandangan Islam mengajar dan mendisiplinkan manusia kepada tingkah laku yang baik, malah ia juga bersifat universal dan komprehensif yang mana ianya dapat diterima dan dijadikan pedoman oleh segenap dimensi kehidupan manusia. Terakhir adalah elemen kemahiran kepimpinan. Dalam Islam, kemahiran kepimpinan sangat diperlukan bagi membina dan membangunkan sesebuah organisasi mahupun persatuan. Kegagalan atau berjayanya sesebuah organisasi tersebut terletak pada  gaya pimpinan yang ditonjolkan. Kepimpinan dalam Islam merupakan amanah yang harus dipikul dan dilaksanakan. Sebagai contoh, ketika kewafatan Rasulullah SAW, tindakan utama yang diambil oleh Saidina Abu Bakar sebelum menguruskan jenazah Rasulullah SAW ialah bermesyuarat bagi pemilihan khalifah sebagai pengganti Rasulullah SAW. Justeru, kesemua elemen ini amat penting untuk digarapkan oleh setiap mahasiswa agar dapat meningkatkan tahap kemahiran insaniah dalam diri masing-masing, sekali gus membuka peluang untuk mahasiswa memperoleh sesebuah pekerjaan serta bagi memenuhi sumber manusia yang berkompeten dalam keperluan global (Nurul Afizah Adnan, 2004; Fazhani Che Mat Zain, t.t.). 


KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, jika kesemua elemen dalam kemahiran insaniah dapat dikuasai oleh segenap lapisan mahasiswa, malah ditambah pula dengan pencapaian kecemerlangan akademik yang dimiliki akan dapat melahirkan generasi yang memiliki kualiti diri cemerlang, berkarisma serta berkredibiliti tinggi agar menjadi contoh dan inspirasi kepada graduan pada masa akan datang. Kemahiran insaniah ini tidak hanya bersifat universal malah turut dilihat dari aspek kerohanian yang merupakan tujuan utama dalam Islam bagi memperoleh kejayaan di dunia dan juga akhirat. Mahasiswa seperti inilah diharapkan bagi usaha memacu negara ke arah lebih baik. Oleh itu, pentingnya memupuk kesedaran terhadap penguasaan kemahiran insaniah yang merupakan satu nilai tambah yang perlu dimiliki dalam kalangan mahasiswa bagi melahirkan bakal graduan berketrampilan agar keboleh pasaran mahasiswa dapat dipertingkatkan dalam dunia perniagaan serba mencabar pada masa kini.


RUJUKAN

Ahmad Esa, Suhaili Padil dan Asri Selamat (2003). Kemahiran Insaniah Dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran Pada Program Kejuruteraan Di Politeknik Malaysia. Jurnal Kajian Pendidikan, Bil 3 (2), 139-150.

Buntat, Y. (2004). Integriti Kemahiran “Employability” Dalam Program Pendidikan Vokasional Pertanian dan Industri DiMalaysia. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.

Kemahiran Pengajian Tinggi Malaysia (2006). Modul Pembangunan Kemahiran Insaniah (Soft Skills)Untuk Institusi Pengajian Tinggi Malaysia. Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Muhammad Syukri Salleh (1999). Usahawan Islam: Erti & Strategi. Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Usahawan Islam. Universiti Sains Malaysia.

Nurul Afizah Adnan (2004). Profil Kemahiran Generik Pelajar Aliran Teknikal Di Politeknik. Laporan Projek Ijazah Sarjana yang diserahkan kepada Fakulti Pendidikan Teknik dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia: Tidak diterbitkan.

Saodah Wok, Narimah Ismail dan Mohd Yusof Hussain (2005). Teori-teori Komunikasi. Bentong: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Shahrul Nizam (2015). Kemahiran Kerja Berpasukan. Diaksess daripada datsem2.blogspot.my/2015/10/assalamualaikum.html?=1. Diakses pada 25 Oktober 2016.

Wirth, A.G. (1992). Education and Work for the Year 2000:Choices We Face. San Francisco: Jossey-Bass 

Monday 23 May 2016

TUGASAN 3: FUNGSI PENGAWASAN DALAM ISLAM

 
Artikel ini akan membahaskan tentang fungsi pengawasan dalam Islam. Pengawasan merupakan salah satu fungsi dalam pengurusan bagi sesebuah organisasi di  mana ianya merupakan suatu proses mengawasi setiap kegiatan yang dilakukan. 
Pengawasan pada dasarnya di arahkan sepenuhnya untuk menghindari daripada berlakunya penyelewengan atau salah laku dalam suatu perkara yang dilakukan. Melalui pengawasan juga ia dapat membantu melaksanakan sesuatu perkara untuk mencapai tujuan yang telah direncanakan secara efektif dan efisien. Dalam konsep pengawasan menunjukkan bahawa pengawasan merupakan sebahagian daripada fungsi pengurusan yang dianggap satu bentuk pemantauan atau pengawalan untuk menjamin agar pelaksanaan kerja berjalan mengikut kesesuaian yang telah ditetapkan (Ahmad Esa, t.t.).

Dalam Islam, fungsi pengawasan dapat dilihat pada ayat al-Quran yang membawa maksud:

                         " Amat besar kebencian di sisi Allah SWT bahawa kamu mengatakan 
                              apa-apa yang yang kamu tidak kerjakan."        (Surah as-Shaf, 3)                                                                                            
Berdasarkan ayat al-Quran tersebut, membawa maksud memberi ancaman dan peringatan terhadap orang-orang yang mengabaikan pengawasan terhadap perbuatannya.
Rentetan daripda itu, menurut H Syarifuddin Mahfudz (2016), pengawasan dalam Islam mempunyai fungsi yang dilakukan secara material mahupun spiritual. Hal ini membawa maksud bahawa pengawasan tidak hanya memperlihatkan hal-hal berkaitan dengan materil sahaja, bahkan ia turut mementingkan hal-hal yang bersifat spiritual. Menurut beliau lagi, pengawasan dalam Islam dilakukan bertujuan memberi kesedaran dalam diri sendiri tentang keyakinan bahawa Allah SWT  selalu mengawasi setiap pergerakkan kita. Hal ini akan membuatkan kita merasa takut untuk melakukan kesalahan, bahkan ia turut memberi kesedaran dalam diri kita bahawa orang yang berada disekeliling juga turut mengawasi setiap pergerakkan kerja yang kita lakukan.

Untuk memastikan pengawasan dapat dijalankan dengan baik dan berkesan, maka setiap elemen yang terdapat dalam dalam sebuah organisasi memiliki ketaqwaan yang tinggi kepada Allah SWT, kesedaran dalam diri setiap individu dan penetapan peraturan yang tidak bertentangan denga syariat. Sehubungan itu, pengawasan yang paling efektif adalah pengawasan yang lahir dalam diri sendiri (Said M. Iqbal, 2012).  Terdapat sebuah hadith yang bermaksud:
                         " Bertaqwalah kamu kepada Allah SWT di mana pun kamu berada."
                                                                                               (Riwayat Tabrani dan Abu Darda') 
 
Berdasarkan kepada hadith tersebut bahawa taqwa itu tidak mengenal tempat di mana kita berada  sama ada ketika bekerja, beraktiviti atau ketika melakukan apa jua perbuatan. Oleh demikian, pengawasan ini dilakukan bertujuan untuk mencegah seseorang agar tidak terus terjerumus kepada sesuatu kesalahan. Selain itu, pengawasan juga bertujuan agar kualiti hidup terus meningkat. 

Disimpulkan di sini bahawa fungsi pengawasan adalah untuk membantu seluruh pengurusan dalam menjalankan tanggungjawab secara efektif dengan melaksanakan setiap kegiatan yang dilakukan. Pengawasan juga merupakan proses untuk memastikan setiap perkara yang dilakukan dapat dilaksanakan dengan baik seperti mana yang dirancangkan.


Rujukan

H Syarifuddin Mahfudz (2016). Pengawasan dalam Perspektif  Agama Islam. Diakses daripada www.pelita.or.id/baca.php?id=30975

Ahmad Esa, t.t. Etika Profesional Dalam Pengurusan Usahawan: Satu Analisis Kajian Lapangan. Perak.

Said M. Iqbal (2012). Fungsi Pengawasan Dalam Islam. Diakses daripada said-iqbal.blogspot.my/2012/01/fungsi-pengawsan-dalam-islam.html?m=1.
 
  

Monday 18 April 2016

TUGASAN 2: PENGAWASAN JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM) DALAM MELULUSKAN PENSIJILAN HALAL

 

 Pendahuluan

Penglibatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam memberi pengesahan halal kepada setiap produk  makanan dan barang gunaan Islam di negara ini dikuatkuasakan pada tahun 1974 apabila Pusat Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri memberi surat pengesahan halal kepada produk-produk yang mematuhi syarak. Bermula pada tahun 1994 pengesahan halal diberi dalam bentuk sijil pengesahan serta logo halal. Antara penerima sijil halal adalah seperti pengeluar, pengilang produk, pengedar, penjual, pengeluar sub-kontrak, pembungkusan semula, premis makanan dan rumah sembelihan termasuklah dapur hotel dan restoran yang dikategorikan sebagai premis makanan (Portal Rasmi Halal Malaysia, t.t.).

Satu ketika dahulu, produk makanan atau barangan halal merupakan pilihan orang Muslim sahaja, tetapi kini ianya telah menjadi pilihan bagi semua golongan masyarakat tidak mengira bangsa. Hal ini menunjukkan bahawa produk dan makanan halal mementingkan aspek kebersihan dan keselamatan terhadap para pengguna (Siti Jamilah, 20003). Oleh itu, aspek halal ini menjadi satu sistem kualiti dan ia tidak hanya dilihat dari sudut keagamaan sahaja, bahkan ia turut menjadi satu komponen penting dalam dunia perniagaan hari ini termasuklah di peringkat pasaran halal global. Negara bukan Islam juga turut mengutamakan produk halal untuk pengguna mereka kerana mengutamakan aspek kualiti dan keselamatan (Wawarah Saidpudin et.al, 2015).

Pengawasan JAKIM Terhadap Halal Produk
Keperluan JAKIM terhadap kepentingan dalam mengesahkan dan meluluskan pensijilan halal serta menjalankan pengawasan untuk memenuhi keperluan masyarakat Muslim bagi memastikan barangan dan produk makanan yang dikeluarkan oleh pengeluar atau pengusaha benar-benar halal dan boleh digunakan dengan selamat tanpa ada sebarang keraguan.Untuk memastikan barangan dan produk yang akan dikeluarkan oleh pengeluar mencapai piawaian yang ditetapkan serta mendapat kelulusan pensijilan halal dapat daripada pihak JAKIM, maka pengeluar atau pengusaha haruslah mengikuti prosuder yang telah ditetapkan oleh pihak JAKIM iaitu perlu mengisi borang permohonan secara online melalui sistem e-Halal sebelum permohonan itu diproses dengan teliti (Nor Shazlina Nor'azam, t.t.).

Rentetan daripada itu, pihak JAKIM perlu menjalankan pengawasan atau pemantauan terhadap setiap barangan dan produk sebelum ia dipasarkan. Hal ini kerana bagi memastikan agar kandungan di dalam setiap produk ataupun barangan tidak mengandungi bahan-bahan yang dilarang seperti sosej bercampur babi, mee berperisa babi, kebersihan premis halal, bebola ikan bercampur dengan bungkusan daging dan perut babi, produk komestik yang mengandungi geletine dan sebagainya. Sekiranya perkara seperti ini di dapati terdapat di dalam mana-mana barangan atau produk yang akan dipasarkan, maka pihak JAKIM berhak menolak permohonan sijil pengesahan halal.

Selain daripada itu, menurut Zulzaidi Mahmod (2011) pihak JAKIM juga perlu menjalankan pengawasan atau pemantauan terhadap label halal dan logo halal dipasaran yang turut menjadi isu apabila terdapat  beberapa permasalahan yang berhubung dengan pemalsuan, penyalahgunaan dan penyelewengan logo halal yang dilakukan oleh pengusaha atau pengeluar barangan mahupun apa jua jenis produk.  Hal ini menyebabkan sehingga pengguna menjadi keliru untuk mendapatkan produk yang benar-benar boleh dipercayai status halalnya dan turut mengelirukan pengguna yang beranggapan bahawa logo halal tersebut adalah hak milik pengeluar sjil seperti JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Kesimpulan
Sijil dan logo halal bukan sahaja memberi jaminan kepada masyarakat Islam bahawa sesuatu makanan atau produk itu halal mengikut syarak, tetapi ia juga mempunyai implikasi yang besar terhadap industri atau pengusaha yang mengeluarkannya. Oleh yang demikian, pengawasan dan penguatkuasaan halal oleh JAKIM merupakan satu mekanisme kawalan yang baik bagi mengawal isu-isu halal di Malaysia, malah ia turut membantu pengguna daripada dipedayakan oleh mana-mana pengeluar atau pengusaha yang tidak beretika.  Dalam hal ini, pengawasan yang lebih kerap perlu dilaksanakan supaya pengguna mendapat jaminan untuk memperoleh produk atau barangan halal di pasaran. 

Rujukan
Portal Rasmi Halal Malaysia. Diakses daripada www.halal.gov.my/v4/index.php/mypensijilan   -mobile/prosuder-permohonan-mobile.

Siti Jamilah (2003). Lima Sebab Sijil Halal Ditolak. Diakses daripada www.majalahniaga.com/terbongkar-5-sebab-sijil-halal-ditolak.html.

Nor Sazlina Nor'azam (t.t.). Prosedur JAKIM Tentukan Halal Sangat Teliti. Diakses daripada kpdnkk.bernama.com/feature/BM.php?id=1046503

Zulzaidi Mahmod (2011). Pelaksanaan Pemantauan dan PenguatkuasaanUndang-undang Produk Hala di Malaysia: Kajian Terhadap Penyalahgunaan Logo Halal. Tesis Ijazah Sarjana yang diserahkan kepada Jabatan Syariah dan Undang-undang Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Tidak diterbitkan.

Wawarah Saidpudin, Nor ‘Adha Abd Hamid, Norziah Othman, Surianom Miskam, Norazla Abd. Wahab,  Marliana Abdullah (2015). Pensijilan Halal di Rantau Asia: Malaysia, Brunei, Indonesia dan Thailand. Kertas Kerja yang dibentangkan dalam World Academic and Research Congress, pada 9– 10 December 2015, bertempat di Ar-Rahim Hall, YARSI University, Jakarta.

Monday 14 March 2016

    TUGASAN 1: PENGURUSAN INSTITUSI PEMBANGUNAN ISLAM
        (PENGAWASAN DALAM INSTITUSI)           
                                 NASIHAH BINTI ISMAIL                                           PELAJAR SAINS KEMASYARAKATAN
 (PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM)

TAJUK: PEMBENTUKAN SAHSIAH DAN PENGAWASAN DALAM PENGURUSAN INSTITUSI

Pendahuluan
Institusi merupakan sebuah badan mahupun organisasi yang mantap ditubuhkan berdasarkan kepada sesuatu tujuan di mana ianya mempunyai insfrastruktur, struktur serta mekanisme yang khusus. Institusi juga adalah norma ataupun aturan mengenai sesuatu aktiviti masyarakat yang khusus. Bagi mencapai sebuah institusi yang baik dan mantap memerlukan kepada pengurusan institusi yang baik dan teratur. Dalam pengurusan pula, memerlukan kepada sumber manusia,tenaga kerja, pembentukan sahsiah, pengawasan atau etika yang baik bagi mencapai matlamat dalam sesebuah pengurusan institusi. Dalam konteks ini, usaha untuk menjadikan pengurusan institusi yang baik, tidak akan berjaya sepenuhnya sekiranya usaha membentuk sahsiah diri individu di abaikan. Hal ini juga memerlukan kepada suatu pengawasan. Perkara ini mempunyai hubung kait antara pembentukan sahsiah diri dengan pengawasan bagi pencapaian matlamat dalam pengurusan institusi. Oleh itu, kedua-dua perkara ini diperlukan dalam pengurusan institusi bagi mencapai matlamat yang ingin dicapai.

Pembentukan Sahsiah Dalam Pengurusan Institusi
Sahsiah bermaksud peribadi atau personaliti yang mencirikan seseorang di mana sifat sahsiah merangkumi gaya hidup, pemikiran, sikap, nilai, budi pekerti seseorang dan sebagainya. Dalam sesebuah pengurusan, sahsiah diri amat diperlukan untuk melahirkan individu yang berakhlak dan beretika dalam menguruskan atau menjalankan seuatu aktiviti pengurusan. Hal ini kerana ciri-ciri sahsiah yang baik adalah mempunyai sifat keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.  Oleh yang demikian, adalah penting bagi setiap individu memiliki ciri-ciri pembentukan sahsiah yang baik seperti amanah, jujur, bertanggungjawab dan sebagainya. Dalam setiap pengurusan institusi mempunyai matlamat bagi mencapai keredaan Allah SWT untuk memperoleh kebajika di dunia dan akhirat. Oleh itu, setiap kegiatan pengurusan institusi harus menghindarkan daripada berlakunya salah laku dengan cara menjauhkan diri dari unsur-unsur negatif dengan menerapkan pembentukan sahsiah bagi setiap individu.
Allah SWT berfirman “ Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) An-nisa: 58
Berdasarkan kepada ayat firman Allah SWT, dimaksudkan bahawa amanah dalam menguruskan sesebuah institusi adalah di mana setiap individu dipertanggungjawabkan untuk mentadbir dan mengurus institusi. Maju mundur bagi sesebuah institusi bergantung kepada mutu kepimpinan yang dilantik. Oleh yang demikian, kegagalan dalam proses pembentukan sahsiah akan akan memberi kesan yang buruk terhadap institusi. Di samping itu, kegagalan organisasi juga disebabkan oleh pemimpin atau pekerja yang tidak amanah serta lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada mengutamakan kepentingan institusi. Bagi mencapai mutu prestasi dalam pengurusan institusi, pemimpin mahupun golongan pekerja perlu mengetahui arah tuju institusi agar dapat menjalankan peranan dengan berkesan dalam perubahan suasana yang kian mencabar (Nik Mustapha Nik Hassan).

Pengawasan Dalam Pengurusan Institusi
Pengawasan merupakan sesuatu yang sangat penting dalam sesebuah institusi ataupun organisasi agar kegiatan-kegiatan yang dijalankan tidak menyimpang dari tujuan yang telah ditetapkan. Dengan pengawasan akan dapat diketahui kebaikan dan kelemahan dalam sebuah pengurusan dari awal pelaksanaan sehingga akhir pelaksanaan pengurusan (Novia, 2010). Dalam pengawasan terdapat fungsi pengawasan antaranya adalah untuk mencegah daripada berlakunya kemungkaran, memperbaiki kesalahan-kesalahan dan mengelak daripada berlakunya penyalah gunaan, penyelewengan serta melahirkan rasa tanggungjawab dalam diri setiap individu. Oleh di sebabkan pengawasan dapat berfungsi sebagai pencegah daripada berlakunya penyimpangan, maka di sini jelas menunjukkan bahawa fungsi pengawasan mencakupi pengendalian, penilaian, pelaksanaan, sifat positif dan pembentukan sahsiah (Ahmad Esa, t.t.). Dalam pengurusan institusi, tindakan pengawasan dan pembentukan sahsiah merupakan perkara yang mempunyai hubung kait antara kedua-duanya. Sejajar denga itu, fungsin pengawasan  dan pembentukan sahsiah tidah hanya terikat dengan peraturan yang ditetapkan tetapi sebaliknya menjadi penggerak serta dapat menjadi suatu pengurusan institusi yang baik (Rohardjo Adi Sasmita, 2011).Selain itu, suatu institusi juga perlu memiliki proses pengawasan bagi menguruskan institusi di mana ianya terdiri daripada kegiatan-kegiatan dalam institusi serasi dengan apa yang dirancangkan. Pengawasan hendaklah dijalankan bersesuaian dengan sifat dan keperluan sebuah institusi dan proses pengawasan harus bersifat membimbing agar pelaksana yang menguruskan institusi meningkatkan kemampuan individu dalam pengurusan institusi.      .

Kesimpulan
Jelas menunjukkan bahawa untuk menjadikan suatu pengurusan institusi yang baik perlu kepada pembentukan sahsiah dan pengawasan. Oleh itu, tanpa pembentukan sahsiah, maka pengawasan tidak mungkin dapat dilaksanakan kerana tidak mempunyai ciri-ciri sahsiah yang baik. Justeru, pengawasan amat diperlukan dalam suatu pengurusan institusi kerana dengan adanya pengawasan akan dapat mengelak daripada berlakunya kesalahan dalam pengurusan institusi. Melalui pengawasan juga, dapat melahirkan kominikasi yang baik antara pemimpin dengan pekerja. Pengawasan disarankan dilakukan secara berterusan agar dapat menjadi suatu pengurusan institusi itu menjadi lebih baik.

Rujukan
Rohardjo Adi Sasmita, 2011. Pengelolaan Pendapatan dan Anggaran Daerah. Yogyakarta: Grana Ilmu.

Nik Mustapha Nik Hassan, t.t. Amanah dalam Memimpin. Diakses daripada www.ikim.gov.my/index.php/ms/berita-harian/7849-amanah-dalam-memimpin-org.

Ahmad Esa, t.t. Etika Profesional Dalam Pengurusan Usahawan: Satu Analisis Kajian Lapangan. Perak.

Novia, 2010. Pengawasan Dalam Organisasi. Diakses daripada https://pyia.wordpress.com/2010/01/03/tugas-teori-organisasi-umum/