Monday 18 April 2016

TUGASAN 2: PENGAWASAN JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM) DALAM MELULUSKAN PENSIJILAN HALAL

 

 Pendahuluan

Penglibatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam memberi pengesahan halal kepada setiap produk  makanan dan barang gunaan Islam di negara ini dikuatkuasakan pada tahun 1974 apabila Pusat Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri memberi surat pengesahan halal kepada produk-produk yang mematuhi syarak. Bermula pada tahun 1994 pengesahan halal diberi dalam bentuk sijil pengesahan serta logo halal. Antara penerima sijil halal adalah seperti pengeluar, pengilang produk, pengedar, penjual, pengeluar sub-kontrak, pembungkusan semula, premis makanan dan rumah sembelihan termasuklah dapur hotel dan restoran yang dikategorikan sebagai premis makanan (Portal Rasmi Halal Malaysia, t.t.).

Satu ketika dahulu, produk makanan atau barangan halal merupakan pilihan orang Muslim sahaja, tetapi kini ianya telah menjadi pilihan bagi semua golongan masyarakat tidak mengira bangsa. Hal ini menunjukkan bahawa produk dan makanan halal mementingkan aspek kebersihan dan keselamatan terhadap para pengguna (Siti Jamilah, 20003). Oleh itu, aspek halal ini menjadi satu sistem kualiti dan ia tidak hanya dilihat dari sudut keagamaan sahaja, bahkan ia turut menjadi satu komponen penting dalam dunia perniagaan hari ini termasuklah di peringkat pasaran halal global. Negara bukan Islam juga turut mengutamakan produk halal untuk pengguna mereka kerana mengutamakan aspek kualiti dan keselamatan (Wawarah Saidpudin et.al, 2015).

Pengawasan JAKIM Terhadap Halal Produk
Keperluan JAKIM terhadap kepentingan dalam mengesahkan dan meluluskan pensijilan halal serta menjalankan pengawasan untuk memenuhi keperluan masyarakat Muslim bagi memastikan barangan dan produk makanan yang dikeluarkan oleh pengeluar atau pengusaha benar-benar halal dan boleh digunakan dengan selamat tanpa ada sebarang keraguan.Untuk memastikan barangan dan produk yang akan dikeluarkan oleh pengeluar mencapai piawaian yang ditetapkan serta mendapat kelulusan pensijilan halal dapat daripada pihak JAKIM, maka pengeluar atau pengusaha haruslah mengikuti prosuder yang telah ditetapkan oleh pihak JAKIM iaitu perlu mengisi borang permohonan secara online melalui sistem e-Halal sebelum permohonan itu diproses dengan teliti (Nor Shazlina Nor'azam, t.t.).

Rentetan daripada itu, pihak JAKIM perlu menjalankan pengawasan atau pemantauan terhadap setiap barangan dan produk sebelum ia dipasarkan. Hal ini kerana bagi memastikan agar kandungan di dalam setiap produk ataupun barangan tidak mengandungi bahan-bahan yang dilarang seperti sosej bercampur babi, mee berperisa babi, kebersihan premis halal, bebola ikan bercampur dengan bungkusan daging dan perut babi, produk komestik yang mengandungi geletine dan sebagainya. Sekiranya perkara seperti ini di dapati terdapat di dalam mana-mana barangan atau produk yang akan dipasarkan, maka pihak JAKIM berhak menolak permohonan sijil pengesahan halal.

Selain daripada itu, menurut Zulzaidi Mahmod (2011) pihak JAKIM juga perlu menjalankan pengawasan atau pemantauan terhadap label halal dan logo halal dipasaran yang turut menjadi isu apabila terdapat  beberapa permasalahan yang berhubung dengan pemalsuan, penyalahgunaan dan penyelewengan logo halal yang dilakukan oleh pengusaha atau pengeluar barangan mahupun apa jua jenis produk.  Hal ini menyebabkan sehingga pengguna menjadi keliru untuk mendapatkan produk yang benar-benar boleh dipercayai status halalnya dan turut mengelirukan pengguna yang beranggapan bahawa logo halal tersebut adalah hak milik pengeluar sjil seperti JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Kesimpulan
Sijil dan logo halal bukan sahaja memberi jaminan kepada masyarakat Islam bahawa sesuatu makanan atau produk itu halal mengikut syarak, tetapi ia juga mempunyai implikasi yang besar terhadap industri atau pengusaha yang mengeluarkannya. Oleh yang demikian, pengawasan dan penguatkuasaan halal oleh JAKIM merupakan satu mekanisme kawalan yang baik bagi mengawal isu-isu halal di Malaysia, malah ia turut membantu pengguna daripada dipedayakan oleh mana-mana pengeluar atau pengusaha yang tidak beretika.  Dalam hal ini, pengawasan yang lebih kerap perlu dilaksanakan supaya pengguna mendapat jaminan untuk memperoleh produk atau barangan halal di pasaran. 

Rujukan
Portal Rasmi Halal Malaysia. Diakses daripada www.halal.gov.my/v4/index.php/mypensijilan   -mobile/prosuder-permohonan-mobile.

Siti Jamilah (2003). Lima Sebab Sijil Halal Ditolak. Diakses daripada www.majalahniaga.com/terbongkar-5-sebab-sijil-halal-ditolak.html.

Nor Sazlina Nor'azam (t.t.). Prosedur JAKIM Tentukan Halal Sangat Teliti. Diakses daripada kpdnkk.bernama.com/feature/BM.php?id=1046503

Zulzaidi Mahmod (2011). Pelaksanaan Pemantauan dan PenguatkuasaanUndang-undang Produk Hala di Malaysia: Kajian Terhadap Penyalahgunaan Logo Halal. Tesis Ijazah Sarjana yang diserahkan kepada Jabatan Syariah dan Undang-undang Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Tidak diterbitkan.

Wawarah Saidpudin, Nor ‘Adha Abd Hamid, Norziah Othman, Surianom Miskam, Norazla Abd. Wahab,  Marliana Abdullah (2015). Pensijilan Halal di Rantau Asia: Malaysia, Brunei, Indonesia dan Thailand. Kertas Kerja yang dibentangkan dalam World Academic and Research Congress, pada 9– 10 December 2015, bertempat di Ar-Rahim Hall, YARSI University, Jakarta.