Monday 31 October 2016

KEMAHIRAN INSANIAH TERHADAP KEBOLEH PASARAN MAHASISWA

NASIHAH BINTI ISMAIL
PISM-0082/15
PELAJAR SAINS KEMASYARAKATAN
(PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM)


PENDAHULUAN

Keboleh pasaran mahasiswa sering kali dikaitkan apabila kegagalan mahasiswa bagi mendapatkan pekerjaan adalah disebabkan tidak memiliki kemahiran insaniah. Pada era globalisasi sekarang, kemahiran insaniah sangat diperlukan dalam diri setiap mahasiswa kerana keboleh pasaran setiap graduan dinilai dari pelbagai aspek yang tidak hanya dinilai berdasarkan kepada tahap kecemerlangan akademik semata-mata (Ahmad Esa, Suhaili Padil & Asri Selamat, 2003). Bahkan, mereka yang mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi sangat diperlukan bagi menerapkan elemen-elemen kemahiran insaniah seperti kemahiran berkomunikasi secara berkesan, kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan, pemikiran kritis dan keusahawanan. Elemen-elemen ini juga telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPTM) bagi usaha membangunkan modal insan kelas pertama yang dapat membantu meningkatkan kualiti setiap individu dan masyarakat terutamanya mahasiswa mahupun graduan. Hal ini dilihat selaras dengan matlamat negara untuk mencapai negara maju pada masa akan datang. Oleh itu, kemahiran insaniah dalam membangunkan modal insan adalah sangat penting dalam melaksanakan peranan masing-masing bagi mencapai kemajuan di dunia serta mendapat keredaan Allah SWT. Justeru, jika mengimbas kembali  pencapaian dan kejayaan yang dibawa oleh tokoh-tokoh ilmuwan Islam terdahulu, ia menekankan penghayatan dan amalan ilmu yang bersifat menyeluruh dengan disertai keimanan yang mantap serta tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab dan peranan sebagai hamba dan khalifah Allah SWT.


KENAPA PENTINGNYA KEMAHIRAN INSANIAH?

Kemahiran insaniah yang dimaksudkan ialah merangkumi ruang lingkup kualiti peribadi yang mempunyai nilai tanggungjawab, kepercayaan diri, kemampuan berkomunikasi, berintergriti, jujur serta kerja berkumpulan. Di samping itu, kemahiran insaniah juga disebut “soft skills” sebagai kecemerlangan individu dalam pelbagai aspek seperti sikap dan personaliti, kemahiran komunikasi, memiliki pergaulan yang luas serta bersikap secara optimis. Soft skills dilihat penting sebagai pelengkap kepada kemahiran insaniah yang merupakan suatu keperluan untuk mengendalikan sesuatu sistem. Justeru, proses terhadap kemahiran “soft skills” ini boleh dilaksanakan kepada semua mahasiswa tidak hanya di dalam bilik kuliah, malah boleh juga dilakukan di luar bilik kuliah seperti menganjurkan pelbagai program yang melibatkan kemahiran dalam membangunkan insan yang berkualiti. Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (2006), institusi pendidikan berperanan penting dengan menitikberatkan tentang kepentingan kemahiran insaniah sebagai penyumbang dalam menjana modal insan yang menyeluruh bagi melahirkan sumber tenaga manusia yang berprestasi dan berkualiti selaras dengan matlamat negara terhadap ekonomi semasa. Kemahiran insaniah dalam diri setiap mahasiswa perlu dipertingkatkan dan tidak hanya menumpukan usaha terhadap kecemerlangan akademik sahaja kerana melalui kecemerlangan akademik tidak mencukupi untuk para graduan terus diterima ke pasaran pekerjaan (Buntat, 2004). Hal ini disebabkan oleh persaingan dan cabaran dalam pekerjaan saban hari dilhat kian meningkat. Oleh demikian, para graduan perlu berusaha meningkatkan prestasi diri untuk membangunkan kemahiran insaniah agar tidak hilangnya sebuah nilai estetika yang mempamerkan diri mereka ini berharga. 

Kemahiran insaniah ini bukan hanya sekadar untuk graduan yang menceburi bidang perniagaan dan pengurusan, akan tetapi ia merupakan elemen yang perlu ada dalam diri setiap mahasiswa yang berada dalam sistem pendidikan (Wirth, 1992). Kemahiran insaniah merangkumi semua aspek berkaitan kemahiran generik yang melibatkan elemen kognitif yang merangkumi kemahiran bukan akademik seperti kemahiran kepimpinan, komunikasi, pemikiran kritis, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat, kerjasama berpasukan, kemahiran keusahawanan, dan etika moral dan profesional seperti mana yang telah digariskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Kemahiran berkomunikasi adalah penting dalam proses kehidupan manusia yang mana ia merupakan satu bentuk perhubungan yang melibatkan pertukaran idea, maklumat, pendapat dan sebagainya. Dalam kemahiran berkomunikasi juga terdapat prinsip-prinsip yang perlu ada dalam berkomunikasi seperti kemahiran mendengar yang baik, bercakap dengan lemah lembut, memberi respon yang positif, menggunakan hikmah dan nasihat yang baik serta mengambil kira pandangan dan fikiran orang lain. Prinsip-prinsip komunikasi tersebut juga digunakan oleh Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat dalam menyampaikan risalah Islam dengan berkesan (Saodah Wok, Narimah Ismail dan Mohd Yusof Hussain, 2005). Dengan itu, mahasiwa diharapkan dapat mengembangkan kemahiran berkomunikasi dengan baik tanpa mengharapkan bantuan orang lain. Selain itu, penerapan pemikiran kritis dan menyelesaikan masalah juga merupakan elemen yang perlu ada dalam kemahiran insaniah. Seseorang individu harus berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif bertujuan untuk merungkai segala permasalahan dan membuat keputusan dengan bijak. Melalui kemahiran ini menjadikan seseorang individu berupaya mengambil tindakan yang jitu dan bertanggungjawab terhadap implikasi yang dihadapi (Juliza Ezaida, 2014). Kemahiran kerja berpasukan adalah elemen ketiga yang perlu ada bagi mahasiswa meningkatkan kemahiran insaniah dalam diri. Elemen ini menunjukkan kebolehan mahasiswa dalam membina hubungan yang baik dan memperlihatkan kesediaan mahasiswa untuk memberi kerjasama dengan ahli kumpulan bagi mencapai objektif yang sama. Sebagai contoh yang boleh dilihat dalam sejarah Islam melalui peristiwa perang uhud ketika tentera-tentera Muslim berjaya mengalahkan pihak musuh apabila mereka bertindak secara berkumpulan dan mempunyai perancangan yang teliti (Shahrul Nizam, 2015) Imbasan daripada sejarah ini jelas membuktikan bahawa kerja berpasukan amat penting untuk mencapai sesuatu objektif.

Elemen keempat, pembelajaran berterusan dan pengurusan maklumat juga digariskan dalam usaha meningkatkan dan menguasai kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa. Hal ini bertujuan untuk mengukur kemampuan bagi mencari dan menguruskan maklumat yang diperoleh dari pelbagai sumber dengan menepati permasalahan topik. Di samping itu, mahasiswa juga berpeluang menerima idea baharu daripada orang lain serta turut berkeupayaan untuk mendapatkan pembelajaran secara autonomi, malah diharapkan dapat mengembangkan dan mengaplikasikan topik perbincangan yang mampu memberi manfaat kepada individu lain. Kemahiran keusahawanan merupakan elemen kelima yang perlu diterapkan dalam diri setiap mahasiswa dengan memperlihatkan kebolehan mahasiswa untuk mengenal pasti peluang perniagaan yang wujud di sekeliling (Fazhani Che Mat Zain, t.t.). Keusahawanan dalam konteks Islam merupakan suatu ibadah untuk memenuhi keperluan hidup yang seimbang dari sudut duniawi dan ukhrawi. Selain kepentingan keusahawanan bagi memenuhi kemaslahatan hidup, usahawan yang jujur dan amanah dalam perniagaan mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT berdasarkan hadith Rasulullah SAW.

                     “Perniagaan yang jujur dan amanah akan bersama nabi-nabi, para siddiqin dan para                                syuhada”              (Riwayat Muslim dan Tarmidzi)

Justeru, kemahiran keusahawanan tidak hanya melihat kepada konsep material, fizikal dan akal manusia sahaja, bahkan turut melihat kepada aspek kerohanian dan ketuhanan yang menjadi tunjang pelaksanaan Islam itu sendiri (Muhammad Syukri Salleh, 1999). Seterusnya moral dan etika profesional adalah usaha membentuk modal insan kelas pertama juga diterapkan dalam elemen kemahiran insaniah yang meliputi kebolehan mahasiswa memahami kesan ke atas ekonomi, alam sekitar dan sosiobudaya. Elemen tersebut dalam pandangan Islam mengajar dan mendisiplinkan manusia kepada tingkah laku yang baik, malah ia juga bersifat universal dan komprehensif yang mana ianya dapat diterima dan dijadikan pedoman oleh segenap dimensi kehidupan manusia. Terakhir adalah elemen kemahiran kepimpinan. Dalam Islam, kemahiran kepimpinan sangat diperlukan bagi membina dan membangunkan sesebuah organisasi mahupun persatuan. Kegagalan atau berjayanya sesebuah organisasi tersebut terletak pada  gaya pimpinan yang ditonjolkan. Kepimpinan dalam Islam merupakan amanah yang harus dipikul dan dilaksanakan. Sebagai contoh, ketika kewafatan Rasulullah SAW, tindakan utama yang diambil oleh Saidina Abu Bakar sebelum menguruskan jenazah Rasulullah SAW ialah bermesyuarat bagi pemilihan khalifah sebagai pengganti Rasulullah SAW. Justeru, kesemua elemen ini amat penting untuk digarapkan oleh setiap mahasiswa agar dapat meningkatkan tahap kemahiran insaniah dalam diri masing-masing, sekali gus membuka peluang untuk mahasiswa memperoleh sesebuah pekerjaan serta bagi memenuhi sumber manusia yang berkompeten dalam keperluan global (Nurul Afizah Adnan, 2004; Fazhani Che Mat Zain, t.t.). 


KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, jika kesemua elemen dalam kemahiran insaniah dapat dikuasai oleh segenap lapisan mahasiswa, malah ditambah pula dengan pencapaian kecemerlangan akademik yang dimiliki akan dapat melahirkan generasi yang memiliki kualiti diri cemerlang, berkarisma serta berkredibiliti tinggi agar menjadi contoh dan inspirasi kepada graduan pada masa akan datang. Kemahiran insaniah ini tidak hanya bersifat universal malah turut dilihat dari aspek kerohanian yang merupakan tujuan utama dalam Islam bagi memperoleh kejayaan di dunia dan juga akhirat. Mahasiswa seperti inilah diharapkan bagi usaha memacu negara ke arah lebih baik. Oleh itu, pentingnya memupuk kesedaran terhadap penguasaan kemahiran insaniah yang merupakan satu nilai tambah yang perlu dimiliki dalam kalangan mahasiswa bagi melahirkan bakal graduan berketrampilan agar keboleh pasaran mahasiswa dapat dipertingkatkan dalam dunia perniagaan serba mencabar pada masa kini.


RUJUKAN

Ahmad Esa, Suhaili Padil dan Asri Selamat (2003). Kemahiran Insaniah Dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran Pada Program Kejuruteraan Di Politeknik Malaysia. Jurnal Kajian Pendidikan, Bil 3 (2), 139-150.

Buntat, Y. (2004). Integriti Kemahiran “Employability” Dalam Program Pendidikan Vokasional Pertanian dan Industri DiMalaysia. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.

Kemahiran Pengajian Tinggi Malaysia (2006). Modul Pembangunan Kemahiran Insaniah (Soft Skills)Untuk Institusi Pengajian Tinggi Malaysia. Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Muhammad Syukri Salleh (1999). Usahawan Islam: Erti & Strategi. Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Usahawan Islam. Universiti Sains Malaysia.

Nurul Afizah Adnan (2004). Profil Kemahiran Generik Pelajar Aliran Teknikal Di Politeknik. Laporan Projek Ijazah Sarjana yang diserahkan kepada Fakulti Pendidikan Teknik dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia: Tidak diterbitkan.

Saodah Wok, Narimah Ismail dan Mohd Yusof Hussain (2005). Teori-teori Komunikasi. Bentong: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Shahrul Nizam (2015). Kemahiran Kerja Berpasukan. Diaksess daripada datsem2.blogspot.my/2015/10/assalamualaikum.html?=1. Diakses pada 25 Oktober 2016.

Wirth, A.G. (1992). Education and Work for the Year 2000:Choices We Face. San Francisco: Jossey-Bass